06 Oktober 2012

Fettuccine Carbonara...

Assalamualaikum wbt...
Sekadar ingin berkongsi resepi yang diminta oleh sang puteri. Telah lama dia minta saya masakkan untuknya Fettuccine Carbonara ni, sering sahaja bertangguh. Lalu cuba mencuri masa untuk menyampaikan hajatnya dan hasilnya inilah...
Bahan-bahan:
1/2 bungkus fettuccine
Sedikit minyak zaitun
1 tin sos carbonara Prego
10 ketul cendawan butang (hiris)
4 ketul frankfurter ayam (hiris)
Sedikit daging kisar Ramly
Bawang merah dan bawang putih (dicincang)
Garam secukup rasa
Susu segar
Cara-cara:
1. Rebus fettuccine sehingga lembut dan toskan. Gaul dengan sedikit minyak zaitun agar tidak melekat.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang yang dicincang.
3. Masukkan cendawan butang, frankfurter atau daging kisar ke dalam tumisan. Gaul sekata hingga daging cincang empuk.
4. Masukkan sos krim carbonara dan kacau sekata. Masukkan susu segar dan masak hingga kepekatan yang sesuai.
Masukkan garam secukup rasa.

12 November 2011

Nostalgia Badai Semalam...

Assalamualaikum,
Tiba-tiba teringat akan Badai Semalam, iaitu novel yang pertama kubaca ketika mengambil subjek Kesusasteraan Melayu SPM. Ketika itu, saya dan rakan sekelas amat mengagumi guru sastera kami, iaitu Puan Hanisah (masih terbayang raut wajah yang manis dan lembut) sehingga membayangkan dirinya itu sebagai Mazni. Beliau berjaya menarik minat kami untuk mengupas novel tersebut dengan begitu baik.

Berikut ialah sinopsis novel Badai Semalam:
Mazni anak seorang pembantu rumah membesar bersama ibunya yang tua dan uzur di sebuah banglo milik Encik Haris dan Puan Rohana. Mazni membesar di dalam rumah tersebut dengan penuh kesederhanaan kerana menyedari diri dan ibunya hanya menumpang berteduh di situ.
Walaupun majikan ibunya amat berbesar hati membenarkan mereka tinggal disitu, tetapi pandangan jiran tetangga amat buruk dan negatif terhadap mereka. Mereka berasa irihati dan cemburu dengan kecantikan dan kebijaksanaan Mazni apatah lagi apabila Karim, anak Encik Haris dan Puan Rohana mula jatuh hati kepada gadis tersebut. Pada mulanya Mazni hanya menganggap Karim sebagai abangnya sahaja.
Dari perasaan kasih jatuh kepada cinta. Karim berjaya menambat hati Mazni untuk bercinta dengannya. Walaupun Mazni tahu latar belakang Karim yang suka berfoya-foya dan tidak mempunyai komitmen dalam menjalinkan hubungan, telah mula berubah laku selepas di timpa musibah kemalangan yang berjaya menginsafkan dirinya. Layanan mesra oleh Mazni membuatkan Karim beria ingin memperisterikan Mazni. Walau banyak tentangan dan fitnah yang dilemparkan, tetapi Karim nekad memperisterikan Mazni. Puan Rohana, ibu Karim tidak bersetuju jika anaknya ingin menyunting Mazni, anak bekas orang gaji mereka. Malu kerana orang luar mula memperkatakan maruah keluarga nanti.
Mazni sedar akan dirinya itu yang tidak mempunyai apa-apa. Dia nekad untuk berkahwin dengan Karim lantaran kasihnya mula bersemi pada lelaki itu. Walaupun Mazni diminati oleh Zaki, tetapi hatinya terlebih dahulu diserahkan kepada Karim. Ibu Mazni amat kecewa apabila mendengar tohmahan dan fitnah tentang Mazni yang berkelakuan tidak senonoh itu. Di saat Mazni memerlukan sokongan, ibunya meninggal dunia. Tinggallah Mazni berdua dengan Karim sebagai suami isteri.
Dalam pada masa yang sama Mazni menyambung pelajaran di sebelah malam. Hari berganti hari, terlalu banyak dugaan yang mendatang. Mazni terpaksa membahagikan masa dengan pelajarannya. Sedikit sebanyak, Mazni terpaksa mengenepikan kehendak Karim. Mazni berasa kecewa dengan sikap Karim yang mula berubah laku selepas mendirikan rumahtangga.
Karim kembali dengan perangai lamanya yang suka berfoya-foya kerana merasakan Mazni telah mengabaikannya dan sibuk dengan buku-bukunya. Apakah kesudahan hidup Mazni? Berjayakah Mazni mencapai cita-citanya? Zaki yang tidak pernah jemu-jemu menagih kasih pada Mazni masih belum berputus harap. Siapakah yang setia di sisinya?

Badai Semalam kini dipentaskan di Istana Budaya dengan barisan pelakon popular tanah air seperti yang terpapar pada poster di sebelah. Suatu fakta yang amat membanggakan saya ialah novel karya Khadijah Hashim ini telah menjangkau usia 43 tahun dan telah diterjemahkan dalam bahasa Mandarin, Inggeris dan Spanish.

10 Oktober 2011

Saya Sayang Keluarga Saya...

Cara menunjukkan kasih sayang kepada ahli keluarga:
*Tunjukkan melalui pelaksanaan tanggung jawab. Bertanggung jawablah untuk memenuhi keperluan ahli keluarga. Isteri misalnya, boleh menunjukkan rasa kasih sayang dengan menjalankan tanggungjawab melayan suami dan anak anak dengan ikhlas.
*Buktikan kasih sayang melalui pengorbanan. Jika ada perasaan sayang maka seseorang itu mesti sanggup berkorban dan bertungkus lumus berusaha mencapai sesuatu atau untuk keselesaan orang yang disayangi
*Perasaan hormat juga adalah bukti kasih sayang. Konsep menghormati hendak lah sedia peka, tidak egoistik dan tidak mudah bertindak mengeksploitasi orang lain untuk kepentingan diri sendiri.
*Jangan menyembunyikan perasaan cinta dan kasih sayang.Sebaliknya bersikap terbuka jika melahirkan perasaan. Sentiasalah ungkapkan kata-kata cinta dan sayang kepada ahli keluarga.
*Sokonglah ucapan-ucapan cinta melalui sentuhan, belaian dan pemahaman yang ikhlas. Sentuhan lembut seperti menepuk bahu dan pandangan lembut sewaktu berbual amat baik untuk diamalkan.
*Hadiah-hadiah dan sambutan tertentu dapat juga membuktikan perasaan kasih sayang. Maka berusahalah mengingati hari -hari istimewa setiap ahli keluarga seperti ulang tahun perkahwinan, hari lahir dan sebagainya.
*Apabila berjauhan, kirimlah surat , poskad atau telefon untuk melahirkan rasa kerinduan kepada mereka.

07 Oktober 2011

Kandid...

Wanita Itu Istimewa...

Ya Allah, mengapa wanita sering menangis?

Jawabnya:

Kerana wanita itu unik.
Aku ciptakannya sebagai makhluk istimewa,
AKu kuatkan bahunya untuk menjaga anak-anaknya,
AKu lembutkan hatinya untuk memberi rasa aman,
AKu kuatkan rahimnya untuk menyimpan benih manusia,
AKu teguhkan peribadinya untuk terus berjuang pada saat yang lain menyerah,
AKu berikannya naluri untuk mencintai anak-anak dalam apa jua keadaan sekalipun,
AKu kuatkan batinnya untuk tetap menyayangi walau dikhianati oleh teman,
Walau disakiti oleh “orang” yang dia sayangi..
Wanita makhluk kuat,
Tetapi jika satu saat dia menangis itu kerana AKu berikannya air mata untuk membasuh luka batin dan memberi kekuatan baru.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails