20 Februari 2011

Trilogi Cinta

Assalamualaikum wbt...
Lama benar saya tidak mengemas kini blog ini. Hari ini saya ingin berkongsi cerita tentang Trilogi Cinta, drama terbitan Suhan Movies yang sedang bersiaran di TV1 setiap jam 10.00 malam hari Ahad, Isnin dan Selasa. Telenovela ini merupakan drama bersiri yang kedua selepas Nur Kasih yang saya ikuti sepenuhnya. 
Drama ini diadaptasi daripada novel garapan Sharifah Abu Salem: Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian dan Tiada Lagi Mimpi. Saya telah pun membaca novel-novel tersebut suatu ketika dahulu. Lalu apabila didramakan sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang menontonnya.


Kekosongan jiwa Razif bagaikan terisi melihat kemesraan orang gajinya, Norjinah melayani kerenah anak-anaknya. Norjinah bagaikan sinar yang membawa cahaya bahagia dalam hidup Razif. Dia hampir dapat melupakan kekecewaan setelah ditinggalkan isterinya yang curang, Salmi.
Namun, segala-galanya berubah apabila Razif menerima Salmi semula yang lumpuh akibat kemalangan. Bermula detik itu, Norjinah benar-benar belajar erti sebuah kehidupan. Demi masa depannya, dia kumpulkan segala kekuatan, kesabaran dan memberanikan diri menghadapi segala dugaan dengan hati yang tabah.
Razif pula berperang dalam kemelut rasa kasih, sayang, cinta dan simpatinya yang menuntut sebuah pengorbanan. Apakah yang mendorong ketiga insan ini begitu tekad menentang arus, melupakan kepedihan dan berani berhadapan dengan kenyataan meski pun ada hati yang tercalar luka?
Sesungguhnya, ajal maut, jodoh pertemuan di tangan TUHAN. Tak Seindah Mimpi sebuah karya yang kaya dengan nilai kasih sayang dan kemanusiaan. Suatu rentetan perjalanan hidup yang sesuai dijadikan ikhtibar di samping menginsafi bahawa adakala hidup ini tidak seindah yang diimpikan.


NORJINAH... bahagianya sekejap cuma. Kini, kasihnya bersama Razif digugat orang ketiga. Sekeping kad luahan cinta seorang gadis untuk Razif, meraih air matanya. Benarkah suaminya menjalin hubungan sulit di belakangnya? Apakah ini balasan TUHAN sedangkan dia tidak merampas Razif dari sesiapa! Tapi... siapakah gadis itu?
“Lupakah Abang Razif pada janji kita untuk sehidup semati?”
NORSEHA... bukan kali pertama dia melihat lelaki itu. Tetapi pertemuan kedua ini mengusik perasaannya. Lelaki tampan itu cukup memikat. Apatah lagi layanannya yang romantik dan gentleman pada Norjinah menerbitkan api cemburu di hatinya. Sepatutnya, dia tidak boleh berperasaan begitu. Ah... mengapa harus mengalah pada Norjinah? Dia juga merampas Razif dari orang lain.
“Saya cintakan Abang Razif seperti Norjinah cintakan abang!”
RAZIF... sukarnya melafazkan kata-kata. Jika boleh, rahsia ini biar menjadi rahsia. Kalau Norjinah tahu perkara ini, bagaimana? Sedangkan dia tidak pernah berubah hati pada wanita lain. Tapi... gadis itu terlalu berani meluahkan perasaannya. Mampukah dia menepis godaan yang datang? “Tak mungkin Norseha. Abang hanya cintakan Norjinah!”
Kebahagiaan ini ibarat api yang membakar. Ia cukup menyeksakan. Cinta tak mengenal abang, kakak dan adik! Menang atau kalah bukan jawapannya. Cuma, jangan binasa mengikut rasa kerana impian itu lebih manis dari kenyataan.

Kemunculan semula Norseha memerangkap kembali Razif di dalam dilema. Kehadirannya sungguh menyeksa, sungguh mendera. Razif tidak mampu menanganinya sendirian. Mujurlah, Badrul tampil menawarkan pengorbanan demi menjaga maruah keluarga.
Prasangka Norjinah terhadap kejujuran suami, tanda tanya dan teka-teki yang menyelubungi akhirnya terbongkar jua. Kenyataan itu juga membunuh seluruh kepercayaan dan cintanya kepada Razif. Dia berasa kebahagiaan yang dinikmati selama ini terbina dari kepalsuan dan pura-pura. Dunia Norjinah seakan berakhir di situ sahaja.
Norseha... permulaan sebuah sengketa. Rumah tangga kakak sendiri goyah gara-gara kehadirannya. Bukan godaan dan tagihan cintanya yang membuatkan semua berprasangka. Tetapi, Razif dan Norjinah saling berahsia kerana dirinya. Persoalan hanya terjawab apabila realiti terbongkar di depan mata. Namun, siapakah yang harus dipersalahkan apabila rahsia bukan lagi menjadi rahsia?
Siapakah pula yang harus mengalah apabila kepahitan bukan lagi mimpi melainkan kenyataan yang sukar ditelan? Dapatkah Razif dan Norjinah mempertahankan kebahagiaan? Dan, timbulkah keinsafan Norseha apabila diri sehina sampah terbuang yang terbiar di jalanan?

SINOPSIS TRILOGI CINTA
Kisahnya bermula dengan mengambil latar situasi berlaku selepas tamat peperiksaan STPM, Norjinah terpaksa memilih untuk menjadi pembantu rumah Razif kerana tidak tahan selalu dimarahi oleh dileteri oleh bapa tirinya, Pak Badar.Perkara itu dicadangkan abangnya, Anuar yang pernah menjadi pembantu peribadi Razif, pemilik Raz Corporation dan juga salah seorang ahli lembaga pengarah Mawar Holdings milik keluarga isterinya.

Kedatangan Norjinah ke rumah Razif, di saat Razif berdepan dengan masalah rumahtangga apabila isterinya Salmi, meninggalkannya untuk bersama lelaki lain, Amir. Salmi meninggalkan Razif kerana jatuh cinta dengan rakan perniagaannya itu.Kerana cinta yang mendalam, Razif sanggup mengambil Salmi semula apabila Salmi dtinggalkan oleh Amir selepas terlibat dengan kemalangan. Salmi dibawa pulang ke rumah dan diberi layanan yang tidak berbeza oleh Razif. Sikap Razif membuatkan Norjinah kagum dan menghormatinya. Razif memaafkan semua kesilapan masa lalu Salmi. Salmi sangat terharu pengorbanan Razif.
Salmi yang menjadi serba-salah dan kekurangan telah menyarankan Razif berkahwin dengan Norjinah tambahan lagi anak-anaknya Balkis dan Ameera rapat dengan Norjinah. Badrul, adik Salmi amat kecewa dengan perkahwinan mereka kerana telah jatuh cinta dengan Norjinah. Pak Badar, bapa tiri Norjinah menabur fitnah bahawa mereka berkahwin kerana telah terlanjur. Norseha pula memberontak untuk ke Kuala Lumpur. Hasratnya tercapai dan menetap di rumah Razif dan Norjinah setelah Salmi meninggal dunia. Norseha selalu menggoda Razif dan tidak henti mencari peluang. Norseha didapati mengandung setelah dinodai Shahrul adik bongsu Salmi. Kehidupan Norjinah terus dirundum pelbagai sengketa tapi mujur Razif dan ibunya Mak Nab selalunya menyokongnya serta anak-anak Razif memberi kekuatan kepadanya.Lalu bagaimanakah kesudahannya? Mampukah Norjinah dan Razif mempertahankan ikatan cinta mereka meskipun pelbagai halangan yang mendatang? Sejauh manakah Razif dan Mak Nab mampu meneruskan usaha membela Norjinah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails