Apakah keistimewaan drama bersiri Nur Kasih?
oleh: Manja Ismail (Berita Harian:30 Nov. 2009)
Penerapan unsur agama pikat minat penonton pelbagai peringkat
JIKA drama bersiri Melayu, apa lagi jika bukan bercorak seram, tahyul atau jenayah, dikatakan sukar menarik penonton televisyen, kejayaan Nur Kasih yang berakhir malam Jumaat lalu, membuktikan sebaliknya. Memang tiada siapa menyangka drama 26 siri yang mula ditayangkan di TV3 sejak 29 Mei lalu itu mendapat sambutan di luar dugaan.
Malah, Nur Kasih mencetuskan fenomena luar biasa apabila episod ke-25 Jumaat minggu lalu mencatat kadar penonton 3,908 juta (berusia empat tahun ke atas) atau 53.9 peratus daripada penonton televisyen pada waktu itu. Kadar penonton episod terakhir dijangka lebih tinggi, apa lagi ia disiarkan pada malam hari pertama Aidiladha.
Drama arahan Khabir Bhatia itu, dengan skrip ditulis oleh isterinya, Mira Mustaffa, juga menerima hampir sejuta klik pelayar internet menerusi laman web TV3 setiap kali ia disiarkan. Selepas beberapa episod ditayangkan, Nur Kasih menewaskan Buletin Utama dari segi rating mingguan program televisyen yang paling ramai ditonton.
Malah, siaran ulangan tanpa iklan selepas Maghrib pada setiap Selasa hingga Jumaat pun mampu menarik hampir dua juta penonton. Pada masa sama, Nur Kasih mendapat perhatian di mana saja, daripada diskusi melalui forum di laman web, radio, medium perantara seperti akhbar dan majalah hingga ke laman web sosial seperti Facebook, Twitter, MYSpace dan Yahoo Messenger.
Walaupun ada beberapa siri drama televisyen yang mendapat sambutan hangat sebelum ini seperti Jangan Pandang Belakang (RTM), Mentua Vs Menantu (Astro), Impak Maksima dan drama Indonesia, Bawang Putih Bawang Merah (TV3), ia tidak hangat diperkatakan seperti Nur Kasih.
Apakah istimewanya Nur Kasih sehingga beberapa bulan lalu menjadi bahan bualan di pejabat, kedai kopi, malah majlis sosial dan korporat? Seorang rakan yang pulang bercuti di Taiping, misalnya terkejut apabila ibunya mendapat panggilan telefon daripada rakan Cina mengingatkan jangan terlupa menonton Nur Kasih sejurus sebelum ia disiarkan.
Ramai remaja kelas menengah Melayu yang sebelum ini menganggap ‘tidak cool’ menonton drama Melayu, terpaku menghadap televisyen setiap malam Jumaat bersama keluarga untuk mengikuti Nur Kasih. Bagi yang ketinggalan beberapa siri awal, mereka rela menghabiskan berjam-jam menghadap komputer menonton siri itu menerusi laman web.
Hendak dikatakan pelakon menjadi tarikan, hampir semua watak utama Nur Kasih dilakonkan oleh pendatang baru, malah ada yang hanya baru dikenali melalui siri itu. Kecuali Datuk Jalaluddin Hassan dan Liza Othman serta beberapa pelakon pembantu, pelakon lain boleh dianggap baru berjinak dalam dunia lakonan.
Dari segi penerbitan pun, Nur Kasih turut dikesan mempunyai beberapa kecacatan, terutama dari segi kesinambungan pada pakaian pelakon. Malah, beberapa watak dalam drama bersiri itu terlalu ideal dan sukar dipercayai wujud dalam kehidupan biasa seperti watak penyabar Nur Amina sendiri atau kesediaan Aliya untuk menjadi ‘madu’ Nur Amina.
Justeru, apa sebenarnya tarikan Nur Kasih? Barangkali faktor kejayaan Nur Kasih terletak pada tema dan jalan ceritanya yang banyak menyentuh perasaan penonton, rata-ratanya orang Melayu. Jika minat orang Melayu terhadap filem Hindustan sejak dulu hingga sekarang kerana ia banyak memainkan perasaan penonton, Nur Kasih yang berkisar di sekitar cinta, kesetiaan dan pengorbanan tidak banyak berbeza.
Sama ada disengajakan atau sebaliknya, resipi sama dalam kebanyakan filem Bollywood menjadi rencah utama dalam Nur Kasih. Bahawa Khabir, yang kebetulan berasal dari India, cenderung memainkan perasaan penonton ala filem Hindi ini terbukti melalui beberapa filemnya sebelum ini. Beliau melakukan perkara sama dalam Nur Kasih sehingga ramai suri rumah menyediakan kotak tisu ketika menonton drama itu, terutama beberapa episod terakhir.
Walaupun Nur Kasih dibintangi ramai pendatang baru, secara umumnya lakonan mereka berbeza dengan apa yang sering ditonton dalam kebanyakan drama atau filem Melayu. Kemampuan mereka menyampaikan dialog secara bersahaja, ditambah dengan skrip yang baik, menarik penonton yang selama ini menganggap lakonan drama Melayu overacting.
Kelebihan Nur Kasih ialah walaupun ia berunsurkan dakwah, watak-wataknya tidak berkhutbah. Cara penerapan unsur agama dalam drama ini ternyata menarik minat penonton generasi muda. Walaupun sawah dan kampung menjadi lokasi utama, sinematografinya agak berbeza dengan drama lain yang menggunakan lokasi sama.
Khabir sendiri ketika ditemui terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap Nur Kasih. "Terus terang saya katakan, tidak pernah terlintas melihat kejayaan drama ini dengan jumlah penonton yang tinggi. Mungkin kejayaan ini datang dengan jalan cerita tidak membebankan pemahaman penonton, selain fokus kepada keagamaan. Saya mencuba beberapa shot yang berlainan ketika menghasilkan drama dan saya percaya kejayaan ini tidak terhasil jika tiada kesinambungan melalui skrip, barisan pelakon berwibawa serta produksi yang tidak pernah mengenal penat lelah," katanya.
Jika filem Hindustan yang memaparkan kemewahan, kekayaan dan keriangan satu ketika dulu dikatakan menjadi escapism bagi majoriti rakyat India yang miskin, apakah sambutan hangat terhadap Nur Kasih ini juga berupa escapism masyarakat Melayu/Islam di negara ini yang sudah bosan dengan keruntuhan moral dalam setiap bidang kehidupan mereka sekarang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan